Search
Enter Keywords:
Sunday, 05 September 2010
HOME arrow INFO BAHAGIAN arrow Berita arrow PM mahu jentera parti pulihkan kekuatan UMNO
Print
Written by Administrator   
Saturday, 22 March 2008

PM mahu jentera parti pulihkan kekuatan UMNO

PUTRAJAYA 21 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu jentera parti di seluruh peringkat bahagian berusaha keras memulih dan memperkukuhkan kembali kekuatan UMNO bagi memenangi semula hati rakyat.

Dalam pertemuan selama satu setengah jam dengan jawatankuasa pengurusan parti dan perwakilan perhubungan Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka di sini petang ini, Presiden UMNO menghendaki usaha itu dimulakan dari sekarang.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Abdullah mahu apa juga kelemahan yang boleh merencatkan parti dipantau dan diselesaikan dengan segera.

‘‘Nada Presiden UMNO serius mahu seluruh jentera parti bekerja keras tengok apa-apa isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

‘‘Beliau mahu kelemahan-kelemahan yang ada dicari jalan untuk dipulihkan sehingga keadaan yang membolehkan (akhirnya) kita menang. Begitu juga dengan perpaduan ahli parti perlu diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri pertemuan tersebut yang diadakan di Dewan Bankuet, Seri Perdana yang turut disertai Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir ialah ahli Jawatankuasa Pengurusan UMNO terdiri daripada seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mohd. Ali Rustam; Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Bendahari parti, Datuk Mohd. Azim Zabidi.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Muhammad ketika dihubungi berkata, Abdullah mahu ahli parti lebih bersemangat mendepani cabaran getir akan datang khususnya dalam usaha menarik minat penyertaan golongan muda.

‘‘Pertemuan ini amat berfaedah dan kesemua yang hadir mencapai persetujuan bahawa keadaan 2008 sudah berubah yang memerlukan pendekatan baru dalam perjuangan akan datang.

‘‘Berkaitan pengundi muda pula, kita sepakat bersetuju bahawa mereka mempunyai ilmu yang lebih berketerampilan, maka UMNO perlu lebih bersedia untuk melakukan perubahan mendekati dan menarik minat mereka,” katanya.

Noraini pula berkata, Presiden UMNO mahu semua ahli parti turun padang lebih kerap dari sekarang untuk mendampingi rakyat tanpa menunggu menjelang pilihan raya umum.

‘‘Beliau mahu mereka menjadi ‘mata dan telinga’ menyelesaikan masalah-masalah rakyat,” katanya.

UMNO menerima pukulan getir dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu apabila Barisan Nasional (BN) yang ditunjanginya gagal mengulangi kemenangan besar parti pada 2004.

Selain kehilangan Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang serta gagal menawan semula Kelantan, BN juga hanya kurang lapan kerusi Parlimen untuk memperoleh majoriti dua pertiga iaitu prestasi yang memeranjatkan pemerhati politik dalam dan luar negara.

 
< Prev

(C) 2010 UMNO - Langkawi, Kedah, Malaysia
Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.