Search
Enter Keywords:
Sunday, 05 September 2010
HOME arrow INFO POLITIK arrow Berita arrow Komunikasi berkesan wakil rakyat
Komunikasi berkesan wakil rakyat Print
Written by Administrator   
Sunday, 06 July 2008

SOALAN: Setelah melihat beberapa siri siaran langsung perbahasan sama ada oleh wakil rakyat beragama Islam atau bukan muslim, keyakinan saya kepada kewibawaan wakil rakyat, tidak kira kerajaan atau pembangkang agak merosot. Apakah komunikasi berkesan terutama bagi wakil rakyat muslim?

– Lim, Jelutong.

JAWAPAN:

Wakil rakyat adalah satu institusi yang patut dihormati. Justeru itu mereka digelar sebagai Yang Berhormat. Hanya kadangkala telatah dan gelagat mereka menyebabkan sebahagian daripada mereka kurang dihormati.

Komunikasi pula satu kemahiran dan amat penting dalam hidup berorganisasi, malah kehidupan umum biasa. Pemimipin, ulama, pendakwah malah wakil rakyat perlu mahir berkomunikasi. Apatah lagi guru di bilik darjah kerana mereka adalah contoh kepada para pelajar. Mahir berkomunikasi satu aset penting bagi menempah kejayaan.

Saya agak bersetuju dengan pandangan saudara Malah saya mendengar rungutan mereka yang menyaksikan perkara tersebut. Sayangnya saya tidak pernah menonton siaran itu kerana bertembung dengan waktu bekerja.

Dalam bidang apa pun, sikap sederhana adalah perlu. Terlampau menonjol boleh memualkan orang ramai. Terlalu senyap di Parlimen pula tidak memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Oleh itu pandai-pandailah wakil rakyat berada pada kedudukan yang lebih baik.

Menurut pakar-pakar komunikasi, dalam komunikasi perlu ada kemahiran mendengar; kemahiran menulis: kemahiran bercakap dan kemahiran memahami orang lain.

Ada mereka yang diberikan bakat semula jadi, tetapi tidak ramai. Orang ramai perlu belajar dan berlatih. Saya bersetuju dengan saudara yang mengatakan ramai juga wakil rakyat kita yang tidak ada skil berkomunikasi. Mereka menjadi wakil rakyat yang tidak beretika, jauh lagi daripada beradab. Sedangkan mereka ditonton oleh berjuta manusia. Penduduk bandar dan desa, orang cerdik dan orang kurang berpelajaran. Saya bersetuju, wakil rakyat bukan ada lesen besar untuk bercakap apa sahaja di depan siapa sahaja. Jangan sampai mereka dipandang "kurang ajar", "bodoh" atau "melampau" oleh masyarakat umum. Kalau terjadi demikian, maka mereka juga yang rugi.

Etika berkomunikasi memerlukan setiap daripada kita menjaga objektif. Bagi wakil rakyat, apakah objektif perbahasan. Mengambil contoh pertikaman lidah Datuk Ibrahim Ali (Bebas) dan Karpal Singh (DAP) dengan gelaran katak atau big foot menjatuhkan martabat Parlimen itu. Jauh lebih teruk beberapa insiden lain malah memang ada senarai mereka yang dianggap rakyat memang "kaki merapu".

Saya jauh daripada bertujuan mengajar itik berenang. Tetapi komunikasi memerlukan beberapa perkara penting. Soal pakaian yang sesuai dengan tempat yang sesuai. Bagi semua wakil rakyat tidak bermasalah. Selain daripada handsome dan cantik, mereka bergaya. Dalam Parlimen dulu-dulu, beberapa orang memang bergaya seperti Datuk Seri S. Samy Vellu. Dalam sesi ini pun ada yang tidak kurang hebat dengan Samy Vellu.

Bagi pendakwah, saya lihat ada masalah. Jika terlalu selekeh, akan ada pandangan negatif kepada mereka. Dunia sekarang bukan lagi macam dulu. Namun terlalu bergaya, kurang baik. Ada orang berbisik kepada saya pendakwah wanita yang sudah macam selebriti pula. Saya tidak faham sangat, apa maksud mereka.

Bagi ahli Parlimen kita, soal bahasa nampaknya menjadi masalah. Mereka yang tidak fasih berbahasa Malaysia ramai. Tertanya juga saya, adakah selepas 50 tahun merdeka kita gagal dalam soal bahasa? Jiran saya berbangsa Cina 15 tahun bertugas di Indonesia dalam ladang kelapa sawit sebagai pengurus, amat fasih berbahasa Indonesia. Saya ingat Datuk Shafie Apdal mestilah berbuat sesuatu. Atau Ketua Pengarah DBP perlu ada strategi tertentu. Kalau tidak malu kita.

komunikasiApabila bahasa "caca-marba" digunakan, ada pula suara menjerit-jerit, bercakap berjela-jela pun ada, macam "syok sendiri". Maka sahlah komunikasi mereka kurang berkesan. Terlalu banyak orang lain yang bercakap adalah kurang beretika. Dalam Islam kurang beradab. Malah dalam Islam setiap pergerakan dan perkataan ada dosa dan pahalanya. Bukan main hentam sahaja.

Sikap memperlekeh orang lain dan membuat tuduhan macam-macam tidak disukai oleh orang tua-tua seperti saya. Ini membuat perbahasan Parlimen kurang berkualiti. Demokrasi tidak bererti 'menghalalkan' segala cara. Kecuali semua ahli Parlimen kita menganut faham mechieavillisme. Tentu golongan Islam boleh komen. Perbuatan seperti ini menjadikan Parlimen macam "sarkas".

Umum ingin melihat satu perbahasan yang matang, hormat menghormati (kerana anda ahli Yang Berhormat) di antara satu sama lain. Bukankah mereka ini contoh kepada rakyat di kawasan masing-masing? Para wakil rakyat, apatah lagi menteri, timbalan menteri dan sebagainya, janganlah menjadi "ketam menyuruh anak berjalan betul". Inilah yang menakutkan saya dengan senario politik mutakhir ini.

Para wakil rakyat harus ingat, ini bukan tahun 1960an. Ini sudah tahun 2008. Ramai bijak pandai di luar Parlimen. Ada ramai profesor, para profesional, ada ulama, ada orang seperti Pak Ungku Aziz dan Tan Sri yang sudah senior dalam negara. Tidak malukah mereka kepada raja-raja dan sultan yang mungkin juga menonton siaran itu? Tidakkah wakil rakyat ada rasa sedikit malu kepada mereka, walaupun mereka rakyat biasa?

Orang awam tidak akan hormat kepada mereka yang lidahnya lebih cepat dari akal. Jangan jadi macam "badut" Parlimen pula.

Tidak malukah mereka kepada anak- anak dan isteri, mertua atau menantu mereka di rumah? Berkomunikasi dengan mereka mesti ada adab dan etika, malah akhlak. Atau mereka ini menjadi baik sangat di rumah, tetapi "ganas" di Parlimen.

Saya lebih risau lagi, siaran kita mungkin malah sudah pasti ditonton di negara jiran; Indonesia, Singapura, Brunei. Apa kata mereka kepada wakil rakyat kita?. Saya malu bila anak saya tunjuk dalam Youtube di DUN Kelantan dan DUN Terengganu satu masa dulu apabila perkataan "iblis" "setan" "jahat" "bertumbuk" "menatang" dan lain-lain lagi. Cuba para wakil rakyat yang terlibat itu melihat semula gambar dan perangai mereka.

Untuk mengelak semua itu, saya mencadangkan agar para wakil rakyat membuat "kerja rumah" yang cukup. Apa lagi jika berkait dengan isu-isu agama. Saya mencadangkan bagi wakil rakyat muslim membaca buku seperti Adab Berbeza Pendapat karya Abdullah Nasih Ulwan. Ada buku tulisan Syed Tantawi (kalau tahu berbahasa Arab). Kalau tidak dalam bahasa Inggeris pun banyak dihasilkan oleh profesor di Harvard yang menghubungan komunikasi dengan akhlak dan moral. Komunikasi tanpa akhlak akan menyebabkan kemanusiaan berkubur. Wallahualam.

Penulis ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: dan web: mindamuslim.com. KAMIL MAJID

 

Sumber  :  utusanonline 

 
< Prev   Next >

(C) 2010 UMNO - Langkawi, Kedah, Malaysia
Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.